BESUT – Keluarga pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Allahyarham Nor Ayuni Maslan, 21, sedia memaafkan pemandu bas persiaran yang terlibat dalam kemalangan ngeri yang meragut 15 nyawa di Gerik, Perak awal pagi kelmarin.
Abang mangsa, Ahmad Azizul, 26, berkata, kemaafan itu dibuat demi ketenangan adik bongsunya yang kini sudah berada di alam barzakh.
“Kami sekeluarga memilih untuk tidak memanjangkan perkara ini dan bersedia menerima permohonan maaf daripada pemandu bas.
“Sekiranya siasatan kelak mendapati dia (pemandu) bersalah biarlah pihak berkaitan (mahkamah) yang menentukan hukumannya,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Felda Tenang, Hulu Besut di sini hari ini.
Terdahulu, pemuda itu dan keluarganya menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), Datuk Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan.
Kosmo! semalam melaporkan pemandu bas berusia 39 tahun memohon maaf kepada keluarga 42 pelajar UPSI yang terlibat dalam nahas di Jalan Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.
Dia mendakwa kemalangan berpunca disebabkan kegagalan brek ketika bas tersebut dalam perjalanan menghantar pelajar ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak.
Bercerita lanjut, Ahmad Azizul berkata, mereka sekeluarga sempat menyambut ulang kelahiran Nor Ayuni yang ke-21 sebelum menghantar adiknya menaiki bas di Masjid Hadhari, Jerteh.
Allahyarham Nor Ayuni yang merupakan pelajar tahun pertama Sarjana Muda Sains Pertanian (Perkembangan Pertanian dengan Pendidikan) kelihatan terkejut dan terharu dengan sambutan tersebut. – KOSMO! ONLINE