fbpx

Misteri Honda HRV tepi jalan ada dadah RM4.7 juta di Gerik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOOR Hisam (empat dari kanan) menunjukkan dadah yang dirampas di Gerik dalam sidang akhbar di IPK Perak di Ipoh hari ini.

IPOH – Misteri kereta Honda HRV ‘tersadai’ di tepi jalan berhampiran sebuah loji di Taman Pulai Savana, Gerik membawa kepada penemuan dadah jenis methamphetamine dan ketamin bernilai RM4.7 juta, Jumaat lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, keberadaan kenderaan utiliti sukan (SUV) itu menimbulkan kecurigaan penduduk sebelum melaporkan kepada pihak polis yang membuat pemeriksaan pada pukul 1 pagi.

“Pemeriksaan kemudian dilakukan di dalam kereta sebelum menjumpai 80 peket plastik lutsinar mengandungi bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 82.8 kilogram (kg) dan 39 peket plastik lutsinar berisi dadah jenis ketamin seberat 40.3kg.

“Dadah yang dianggarkan bernilai RM4,667,850 itu dijumpai di bahagian but belakang kereta,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.

Noor Hisam berkata, semakan terhadap nombor casis kenderaan itu mendapati ia telah dipotong dan nombor enjin juga telah diganggu.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan lanjut dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mendapati kenderaan itu didaftarkan atas nama seorang jururawat di Serdang, Selangor.

“Siasatan awal mendapati, dadah itu dibawa masuk dari negeri jiran melalui Gerik untuk diedarkan di pasaran tempatan dan negeri bersebelahan. Dadah yang dirampas itu boleh digunakan oleh seramai 350,000 penagih,” katanya.

Tambahnya, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI