PETALING JAYA – Malaysia bergerak satu langkah lagi ke hadapan dalam misi sebagai hab strategik bagi inovasi, pengembangan serantau dan pembangunan teknologi mampan di Asia Tenggara.
Menteri Digital, Gobind Singh Deo berkata, usaha tersebut menerusi Forum Gerbang Digital UK-Malaysia ‘Your Launchpad into ASEAN’s Digital Future’ yang dianjurkan oleh British Malaysian Chamber of Commerce Berhad (BMCC) di London.
“Dengan kehadiran lebih daripada 80 syarikat teknologi berpangkalan di UK, ia peluang meneroka potensi bersama gergasi tempatan Malaysia dalam bidang yang sangat diperlukan.
“Perkara ini seperti kecerdasan buatan (AI), keselamatan siber, fintech dan IoI sekali gus bukti jelas bahawa kita memiliki apa yang diperlukan untuk muncul sebagai kuasa digital global,” katanya pada hantaran Facebook hari ini.
Gobind hadir pada Forum Gerbang Digital UK-Malaysia di London serta berucap pada program tersebut.
Dalam pada itu, beliau yakin acara tersebut akan mencetuskan perbualan dengan idea, hubungan dan perkongsian serta mengukuhkan hubungan Malaysia-UK untuk tahun mendatang.
Pada hantaran yang lain, Gobind memaklumkan beliau turut menjadi salah seorang ahli panel di London Tech Week’s High-Level Fireside Chat diadakan bersempena ‘Asia Get Together: AI Safety and Regulations – Preparing Asia for the AI Storm’.
“Saya berkesempatan berkongsi pandangan berkenaan hala tuju transformasi digital Malaysia termasuk inisiatif bawah program Digital Malaysia dan peluang pelaburan utama,” katanya. – KOSMO! ONLINE














