KUALA LUMPUR – “Doakan yang baik-baik untuk kami.”
Itu respons penyanyi dan pelakon Elliza Razak dan Nine Phyne Ballerz mengenai desas-desus kononnya mereka kini sedang hangat bercinta.
Menurut Elliza atau nama lengkapnya Elliza Abdul Razak, 41, dia mengakui rapat dengan Nine sejak dulu lagi dan lelaki itu setia berada di sisinya saat diuji kesusahan.
“Memang kami rapat. Kerana dia banyak beri sokongan moral pada saya. Dia banyak luangkan waktu dia bersama saya. Itu sesuatu yang sangat mahal.
“Abang kandung saya sendiri pun ucap terima kasih pada Nine kerana selalu menjaga saya.
“Tetapi untuk mengatakan saya bercinta dengan dia atau pun tidak, saya tak berani. Kalau kata tak, nanti itu yang kita dapat. Bab jodoh saya ikut ketentuan Ilahi sahaja,” katanya kepada Kosmo! Online.
Perkara yang sama turut dipersetujui Nine atau nama sebenarnya Mior Zulkarnain Mohd Zamhuri, 43. Katanya, dia juga tidak berani untuk berkata ya atau tidak sama ada menjalin hubungan cinta dengan Elliza.
“Saya sentiasa mengharapkan doa orang ramai serta sokongan terhadap kami dan juga perniagaan kami. Jika ada yang doakan kami bertemu jodoh, saya aminkan sahaja doa yang baik-baik. – KOSMO! ONLINE