BERA – Seorang wanita yang terjatuh selepas kereta yang diparkir menggelongsor ke dalam Sungai Triang di sini kelmarin ketika menemani suaminya memancing ditemukan lemas pagi ini.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, mayat Sakirah Akop, 31, dijumpai dalam keadaan terapung pada jarak 2.5 kilometer (km) dari lokasi mangsa hilang.
“Mangsa dijumpai oleh orang awam pada pukul 8.40 pagi tadi sebelum pasukan penyelamat bergegas ke lokasi berkenaan dan mengesahkan penemuan mayat mangsa.
“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Bera di sini untuk proses bedah siasat,” katanya.
Dalam kejadian pada pukul 1.50 tengah hari, Isnin lalu, mangsa bersama bayi perempuannya berusia 16 bulan berada dalam kereta bagi menemani suaminya memancing di tepi Sungai Triang, Bandar Baru Bera.
Bagaimanapun kereta itu secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai. Mangsa sempat membuka pintu kenderaan dan menghulurkan bayi kepada suaminya sebelum hanyut dibawa arus sungai bersama kenderaan tersebut. – KOSMO! ONLINE