BUENOS AIRES – Argentina hampir dimalukan di laman sendiri apabila sekadar mencatat keputusan seri 1-1 menentang Colombia pada aksi Kelayakan Piala Dunia 2026 di Estadio Monumental hari ini.
Pada perlawanan itu, Colombia yang beraksi sebagai pasukan pelawat terlebih dahulu berada di depan pada minit ke-24 menerusi jaringan Luis Diaz sebelum Thiago Almada menyamakan kedudukan ketika perlawanan berbaki sembilan minit.
Skuad La Albiceleste dianggap bernasib baik untuk mengutip satu mata selain mengekalkan aksi tanpa kalah dalam lima perlawanan kerana terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Enzo Fernandez dilayangkan kad merah.
Almada yang dijulang sebagai wira pasukan mengakui, seri bukanlah satu keputusan yang dimahukan semua pemain, namun sekurang-kurangnya mereka dapat mengutip satu mata untuk terus mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu.
“Keputusan seperti ini memang sukar untuk diterima tetapi kami semua terpaksa menerimanya dengan hati terbuka. Mereka merupakan satu pasukan yang sangat baik dan kami pula bermain dengan 10 pemain.
“Saya fikir kami sudah melakukan tugas dengan sangat baik apabila mengambil kira kami bermain dengan kurang seorang pemain. Kami gembira kerana dapat bangkit menyamakan kedudukan,” katanya.
Sebagai rekod, Almada sudah diturunkan sebanyak empat kali sebagai kesebelasan utama dan dia sentiasa terlibat dalam setiap jaringan dilakukan Argentina ketika bertemu Uruguay, Colombia, Brazil dan Chile. – AGENSI