KOTA TINGGI – Seorang warga emas menghembus nafas terakhir dalam dakapan anaknya ketika menunaikan rukun Islam kelima di Mekah, kelmarin.
Allahyarham Jamaliah Masron, 68 merupakan jemaah haji ke-11 dari Malaysia yang berasal dari Taman Kota Jaya, di sini disahkan meninggal dunia pada pukul 6.05 petang (waktu tempatan) di Klinik Kecemasan Bangunan Abraj Janadriyah, akibat serangan jantung.
Menurut anaknya, Muhamad Haikal Hassan, 36, berkata, ibunya merupakan pesara guru dengan jawatan terakhir sebagai Guru Penolong Kanan Ko-kurikulum di Sekolah Kebangsaan Bukit Lintang, Kota Tinggi.
Muhamad Haikal yang juga seorang guru di Pasir Gudang berkata, ibunya pernah ditahan wad di Hospital Kota Tinggi (HKT) pada minggu kedua Syawal lalu dan ketika itu, doktor tidak menggalakkan ibunya ke Mekah.
Bagaimanapun katanya, doktor di Institut Jantung Negara (IJN) beri keizinan untuk pergi haji memandangkan keadaan kesihatan ibunya yang lain semuanya baik sahaja kerana ibunya seorang yang menjaga pemakanan.
Bercerita bagaimana keadaan ibunya ketika tiba di Mekah, Muhamad Haikal berkata, ibunya demam dan selsema pada minggu pertama di sana.
“Cuaca sangat panas. Mak ada mengadu letih, saya selalu elakkan mak keluar waktu siang, macam nak buat umrah wajib pun, saya bawa mak pergi lepas pukul 12 tengah malam. Saya akan tolak mak guna ‘wheelchair’.
“Kelmarin, ketika baru pulang dari Mina, nampak mak lemah masa sampai bilik. Mak yang minta bawa pergi klinik. Mak cakap nak ke tandas kejap, baru dua tiga langkah saya papah mak, mak terus rebah dalam dakapan saya dan senyap.
“Ketika di klinik, mereka berikan bantuan pernafasan dan pertolongan cemas, namun selepas 30 minit, mereka sahkan mak meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi, hari ini.-KOSMO! ONLINE