fbpx
JALAN di JRTB perlu dilebarkan, dinaik taraf dan dipasang lampu memandangkan semakin banyak digunakan oleh kenderaan ringan dan berat.

Jalan Jeli-Gerik ketinggalan 50 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GERIK – Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli yang dibina ketika zaman komunis pada 1970-an memerlukan penambahbaikan besar-besaran bagi mengelakkan kejadian kemalangan ngeri melibatkan banyak kematian berulang.

Seorang penduduk, Tajuddin Ali, 54, berkata, walaupun kecuaian dan cara pemanduan menjadi faktor utama kemalangan tetapi struktur JRTB juga perlu diambil kira.

Katanya, kerajaan perlu menambah lampu dan pembukaan pos pihak berkuasa sebagai penyelesaian paling praktikal sebelum melakukan penambahbaikan besar-besaran seperti pelebaran jalan.

“JRTB hanya memenuhi corak penggunaan jalan ketika 50 tahun lalu. Papan tanda larangan menggunakan laluan pada waktu tertentu bagi mengelakkan serangan komunis masih ada.

“Jika keadaan jalan sedia ada sudah lama, ketinggalan dan ditambah pula dengan gaya pemanduan tidak bertanggungjawab, maka makin tinggi risiko kemalangan,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas yang me­reka naiki hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kende­raan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza lalu terbalik di Ki­lometer 53, JRTB, berhampiran Tasik Ban­ding di sini.

Ketika terbalik pada pukul 12.45 tengah malam, sebahagian be­si penghadang jalan telah tembus ke ruang kerusi penumpang bas persiaran itu.

Tinjauan mendapati jalan di lokasi kemalangan itu tidak mempunyai garisan putih yang jelas selain ketiadaan lampu meskipun di selekoh yang berbahaya.

Tajuddin berkata, kejadian seperti kemalangan anak gajah pada awal bulan lalu dan terkini kemalangan bas persiaran membawa pelajar UPSI jelas me­nunjukkan corak penggunaan di JRTB sudah jauh berbeza terutama semakin banyak kenderaan berat.

“Sesiapa sahaja lalu di kawasan nahas bas itu, pasti pe­rasaan risau akan bertambah. Keadaan jalan yang gelap dan hanya bergantung kepada lampu kenderaan serta pantulan cahaya isyarat selekoh memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Ismail Hashim, 38, turut bersetuju dengan keperluan menambah baik JRTB memandangkan kenderaan kini yang semakin laju, tidak seperti kereta pada zaman 70-an atau 80-an.

“Di laluan ini, bukan sahaja kereta laju, bahkan lori juga tidak mahu kalah. Tidak semua akan mematuhi sepenuhnya amaran had laju dan sebagainya.

“Perlu penguatkuasaan yang lebih kritikal, misalnya jika ken­deraan panjang dan tinggi seperti bas perlu dihalang menggunakan laluan ini pada lewat malam,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN