fbpx

Indonesia merendah diri dibelasah Jepun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MACHINO (kanan) berjaya melepasi kawalan pertahanan Indonesia, Mees Hilgers dalam aksi kelayakan di Osaka semalam. - AFP

OSAKA – Pengendali Indonesia, Patrick Kluivert mengakui pasukannya bernasib baik kerana tidak mengalami kekalahan yang lebih memalukan berbanding bolos enam gol apabila tewas 0-6 kepada Jepun pada aksi terakhir Kumpulan C kelayakan Piala Dunia 2026 semalam.

Pengendali dari Belanda itu juga seakan hilang kata-kata, namun tetap menghormati kualiti Jepun selaku gergasi bola sepak Asia dan mahu anak-anak buahnya mempelajari sesuatu daripada kekalahan di Stadium Suita itu.

“Kami harus belajar daripada situasi ini dan apa lagi yang saya harus katakan? Jepun layak menang dan kami beruntung kerana keputusan akhir tidak lebih daripada apa yang kami raih.

“Kami menghormati Jepun, kualiti dan pergerakan mereka cukup baik. Mempelajari sesuatu menjadi hal terpenting dan kami kena menyusun perancangan bagi menghadapi cabaran yang lebih mencabar selepas ini,” katanya.

Bekas bintang sensasi Belanda itu mengakui keputusan akhir membuktikan Jepun berada pada kelas lebih tinggi berbanding Indonesia walaupun Sang Garuda kini dibarisi ramai pemain warisan berpangkalan di Eropah terutamanya Belanda.

Walaupun mengakui agak bertuah kerana tidak mengalami kekalahan lebih teruk, Kluivert tetap kecewa dengan persembahan pasukannya hingga membenarkan Jepun tampil lebih dominan pada perlawanan kali ini.

“Pada awal perlawanan, segalanya agak baik buat kami. Tetapi seperti saya katakan sebelum ini, Jepun memiliki kuliti yang cukup baik dan tahap mereka adalah Piala Dunia,” katanya.

Enam gol Jepun diperoleh menerusi dua jaringan Daichi Kamada dan masing-masing satu daripada Takefusa Kubo, Ryoya Morishita, Shuto Machino serta Mao Hosoya.

Meskipun dibelasah, namun ia tidak menjejaskan Indonesia yang masih meneruskan impian ke Piala Dunia 2026 apabila layak ke pusingan keempat kelayakan. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI