SERDANG – Cubaan tiga lelaki termasuk dua individu yang mempunyai 43 rekod lampau melarikan diri sejauh 25 kilometer (km) berakhir apabila mereka diberkas polis awal pagi hari ini.
Dalam kejadian pukul 3.30 pagi itu, ketiga-tiga suspek yang menaiki kereta jenis Honda Civic ditahan unit peronda (MPV) untuk pemeriksaan di Jalan Putra Permai, namun mereka memecut menghala ke arah Seri Kembangan.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad berkata, insiden mengejar itu belaku sehingga persimpangan Jalan Suakasih, Cheras berhampiran susur keluar Lebuh Raya Lingkaran Penyuraian Trafik Kajang (SILK).
“Kereta dinaiki suspek hilang kawalan sebelum melanggar pembahagi jalan di Kilometer 5.1 menyebabkan kenderaan tersebut terbalik di tengah jalan.
“Ketiga-tiga lelaki tempatan berusia 40 hingga 51 tahun dibawa ke Hospital Sultan Idris Shah, Serdang untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhamad Farid berkata, semakan mendapati dua daripada suspek itu mempunyai 43 rekod jenayah dan dadah sementara seorang lagi dikehendaki di bawah Seksyen 15(1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan menjumpai pelbagai jenis dadah antaranya kokain seberat 77.10 gram (g), ganja (47.21g), serbuk ekstasi (54.07g), ketamin (30.18g), pil kuda (3.2g), pil ekstasi (3.4g) dan pil erimin 5(0.98g).
“Polis turut menemui objek berwarna kelabu dengan komponen besi dan skru bersama satu gulung wayar dan bateri motosikal disyaki peranti bahan letupan (IED),” ujarnya.
Menurut beliau, kesemua suspek diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang untuk siasatan di bawah Seksyen 39B ADB 1952.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Bahan Kakisan dan Letupan Senjata Berbahaya 1958,” katanya. – KOSMO! ONLINE