GRONINGEN – Dua jaringan daripada Memphis Depay menyaksikannya berjaya menyamai rekod 50 gol milik legenda Belanda, Robin van Persie (RVP) yang merupakan penjaring terbanyak negara itu di peringkat antarabangsa.
Dua gol itu juga menjadi pencetus semangat kepada pesta gol Belanda apabila membelasah 8-0 ke atas Malta dalam aksi Kumpulan G kelayakan Piala Dunia 2026 di Stadium Euroborg awal pagi tadi.
Kapten The Oranje, Virgil van Dijk berpuas hati mengetuai pasukan meraih kemenangan besar dan cukup bangga dengan kualiti dijelmakan oleh rakan sepasukannya.
“Hari yang cukup indah buat kami kerana menjaringkan banyak gol dan berjaya menamatkan perlawanan tanpa bolos. Memphis juga memainkan peranan besar kepada pasukan kami pada perlawanan ini.
“Dia kini setaraf dengan Robin van Persie dan pastinya pencapaian ini cukup hebat kerana saya boleh lihat kerja keras yang dilakukannya sebelum ini.
“Dia adalah pemain penting kepada kami. Sudah pasti saya bangga dan harap dia mampu mengekalkan aksi seperti ini pada perlawanan seterusnya,” katanya.
Pada perlawanan kali ini, pemain gantian, Donyell Malen turut menghasilkan dua gol diikuti satu jaringan daripada Van Dijk, Xavi Simons, Noa Lang dan Micky van de Ven.
“Paling penting adalah kami berjaya mendapatkan kemenangan. Sekarang kami mempunyai masa untuk rehat selepas harungi musim yang cukup panjang,” tambah Van Dijk. – AGENSI