SAO PAULO – Ketua jurulatih skuad kebangsaan Brazil, Carlo Ancelotti akhirnya meraih kemenangan sulung apabila pasukannya menewaskan Paraguay 1-0 dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 di Arena Corinthians hari ini.
Ia bukan sekadar menamatkan kemarau tiga perlawanan tanpa kemenangan Brazil, malah lebih penting memastikan tempat ke pusingan akhir Piala Dunia 2026 yang akan berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico tahun depan.
Selepas aksi pertama yang hambar dengan keputusan seri tanpa jaringan menentang Ecuador, Ancelotti membuat beberapa perubahan taktikal apabila menurunkan semula pemain sayap Barcelona, Raphinha dalam kesebelasan utama.
Bagaimanapun, serangan Brazil tetap tumpul sepanjang separuh masa pertama dengan satu-satunya peluang terbaik hadir menerusi bintang Real Madrid, Vinicius Junior yang gagal menyempurnakan hantaran daripada Matheus Cunha.
Selepas beberapa percubaan tidak menjadi, akhirnya Brazil menemui jaringan menerusi Vinicius pada minit akhir babak pertama hasil gerakan menarik Raphinha yang mengelirukan pertahanan Paraguay.
Babak kedua menyaksikan tekanan bertali arus Brazil, namun ketangkasan penjaga gol Paraguay, Gatito Fernandez menggagalkan beberapa peluang keemasan termasuk rembatan berbahaya Bruno Guimaraes.
Paraguay hampir mengikat kedudukan menerusi tandukan Junior Alonso, namun percubaannya sedikit melewati palang dan tuan rumah kembali mengawal permainan pada 10 minit terakhir, namun tiada tambahan jaringan berjaya dihasilkan.
Sebagai rekod, ia adalah kemenangan kedua dalam enam perlawanan kelayakan buat Brazil, manakala Paraguay terpaksa menunggu satu lagi mata dalam baki dua aksi untuk layak ke Piala Dunia buat kali pertama sejak 2010. – AGENSI