fbpx

Aerodinamik Ducati ada potensi – Marquez

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MARQUEZ berada pada tahap terbaik musim ini dengan terbaharu menjuarai GP Aragon kelmarin. - AFP

ARAGON – Pelumba Sepanyol, Marc Marquez terus memanfaatkan setiap peluang di atas litar apabila memberi tumpuan terhadap penilaian pakej aerodinamik baharu Ducati sepanjang sesi ujian Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Aragon berakhir kelmarin.

Juara dunia lapan kali itu mendedahkan, fokus utama ujian tersebut adalah memastikan pakej aerodinamik terbaharu dapat diluluskan sebelum sesi seterusnya berlangsung di Misano, Itali.

“Ujian kali ini sangat penting kerana selepas ini dah terlalu lewat untuk luluskan pakej aero. Kami uji beberapa kombinasi dan ada beberapa perkara positif,” katanya.

Walaupun tidak mendedahkan secara terperinci, Marquez memberi bayangan awal bahawa pakej baharu itu menunjukkan potensi.

Malah, pelumba berusia 32 tahun itu turut mengakui masa pusingan antara pakej aerodinamik baharu dan spesifikasi standard digunakan sebelum ini agak rapat.

Ducati sebelum ini kembali menggunakan spesifikasi 2024 selepas mengetepikan rekaan 2025 sewaktu ujian pramusim, sambil meneruskan pembangunan konsep baharu yang lebih agresif.

Rakan sepasukan Marquez di Ducati, Francesco Bagnaia pula menemui peningkatan ketara apabila menukar kepada cakera brek bersaiz lebih besar sekali gus membolehkan bekas juara dunia itu memperlahankan jentera dengan lebih stabil dengan tekanan brek yang lebih rendah.

Bagaimanapun, Marquez merasakan perubahan pada cakera brek tidak memberi kesan besar kepada dirinya.

“Secara peribadi, tiada banyak beza. Memang cakera 355 milimeter beri lebih kuasa membrek di laluan lurus, tapi hanya berguna di dua atau tiga selekoh seperti Selekoh 1 dan 16 di Aragon. Selebihnya, saya tak rasa ia beri kelebihan besar,” katanya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI