KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas motosikal yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta di Jalan Kuantan-Kemaman berhampiran Surau Abdul Ghani, Balok, di sini malam semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 7.15 malam itu, mangsa, Sudirman Kasim, 67, yang menunggang motosikal jenis Honda Beat dalam perjalanan dari rumahnya untuk ke surau berkenaan.
Mangsa dipercayai keluar dari satu persimpangan sebelum masuk ke laluan utama dan dirempuh sebuah kereta yang datang dari arah Balok menghala ke Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, siasatan awal mendapati kereta jenis Kia Rio yang dipandu seorang lelaki berusia 22 tahun itu tidak sempat mengelak kerana jarak yang terlalu dekat sebelum melanggar motosikal mangsa.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah yang dialami.
“Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat,”katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Mohd. Zahari, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Polis juga akan mengambil sampel darah dan urin untuk ujian toksikologi, selain menjalankan pemeriksaan Puspakom terhadap kedua-dua kenderaan yang terlibat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE