MILAN – Dua pengendali berpengalaman, Claudio Ranieri dan Antonio Conte antara nama hangat diperkatakan bakal ditawarkan jawatan ketua jurulatih Itali selepas pemecatan mengejut Luciano Spalletti kelmarin.
Keputusan itu dibuat selepas Spalletti gagal merekodkan keputusan positif dalam empat perlawanan terakhir Itali termasuk dimalukan 0-3 oleh Norway dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2026 pada Sabtu lalu.
Begitupun, Spalletti masih diberikan kelonggaran dengan mengendalikan aksi terakhirnya bersama The Azzurri menentang Moldova dalam aksi kedua kelayakan Piala Dunia di Stadium Mapei awal pagi tadi.
“Presiden (Persekutuan Bola Sepak Itali) Gabriele Gravina memanggil saya malam tadi (kelmarin) dan memaklumkan saya akan dilepaskan daripada jawatan ketua jurulatih.
“Saya tiada niat untuk berundur. Saya mahu terus menjalankan tugas tetapi keputusan sudah dibuat. Saya akan berada di tepi padang untuk aksi esok (awal pagi tadi), selepas itu kami akan selesaikan isu kontrak,” kata Spalletti.
Kekalahan kepada Norway di laman sendiri dianggap sebagai tamparan hebat kepada Itali yang baru sahaja memulakan kempen kelayakan ke Piala Dunia 2026.
Kini, Itali berharap dapat meyakinkan Ranieri untuk mengisi kekosongan itu meskipun sedar ia bukan mudah memandangkan beliau kini berperanan sebagai pengurus dan penasihat senior kepada pemilik AS Roma.
Peluang mendapatkan Conte juga dilihat sukar disebabkan beliau baru sahaja mengemudi Napoli kembali bergelar juara Serie A musim ini.
Selain Ranieri dan Conte, seorang lagi nama turut dikaitkan iaitu Thiago Motta yang kini tidak terikat dengan mana-mana kelab selepas dipecat Juventus pada Mac lalu. – AGENSI