MUAR – Selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tangkak atas tuduhan membunuh isteri, seorang penganggur sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini terhadap pertuduhan melakukan khianat dengan membakar sembilan buah kenderaan milik isteri serta abang iparnya.
Tertuduh, Mohamad Khairul Azmi Ithnin, 32, bagaimanapun hanya mengaku enam daripada keseluruhan sembilan pertuduhan yang dikemukakan jurubahasa di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.
Tertuduh mengaku bersalah untuk pertuduhan pertama, kelima hingga kesembilan dengan membakar enam buah kenderaan masing-masing dua buah pacuan empat roda dan motosikal selain sebuah kenderaan ulititi sukan (SUV) dan kereta.
Perbuatan itu dilakukan di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong dan Kebun Durian Kampung Teratai 2, Sagil antara pukul 4.36 hingga 6.46 pagi, 3 Jun lalu.
Bagi pertuduhan kedua hingga keempat, dia mengaku tidak bersalah melakukan khianat dengan membakar dua buah motosikal dan sebuah kereta di Kampung Pengkalan Kota, Durian Chondong pada tarikh dan masa yang sama.
Oleh itu, bagi kesemua pertuduhan ini, didakwa mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Diyana Najihah Muhamed Fauzi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, pihak pendakwaan memohon mahkamah menetapkan suatu tarikh baru untuk sebutan semula bagi kesemua pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh.
Selain itu, pihak pendakwaan juga memberitahu tiada jaminan ditawarkan memandang tertuduh berhadapan satu pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan di Mahkmah Majistret Tangkak, hari ini.
Mahkamah kemudian menetapkan 9 Julai ini untuk fakta dan hukuman serta serahan dokumen dan lantikan peguam bagi pertuduhan yang mana tertuduh mengaku tidak bersalah.
Tertuduh sebelum itu didakwa di Mahkamah Majistret kerana membunuh isterinya Iecah Junus, 34, dengan mengelar leher menggunakan pisau pemotong sayur.
Namun, tertuduh hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan dan tiada pengakuan direkodkan daripadanya. – KOSMO! ONLINE