MELAKA – Seorang pemandu e-hailing dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan merompak kedai emas dan mencederakan isteri pemilik premis, minggu lalu.
Hakim Haderiah Siri menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Melvin Yen Wei Shern, 29, yang membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati melakukan rompakan dan dengan sengaja mencederakan Koh Kim Lye, 70, di Kedai Emas Tai Kwong pada pukul 11 pagi di Jalan Jawa, Kampung Jawa dalam daerah Melaka Tengah pada 22 Mei 2025.
Bagi perbuatan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, jika sabit kesalahan.
Difahamkan tertuduh nekad merompak kedai emas tersebut kerana ingin membantu membayar hutang teman wanitanya yang membuat pinjaman along melibatkan jumlah keseluruhan pinjaman mencecah lebih RM200,000.
Terdahulu, Peguam Kent Tan Chow Teng yang mewakili tertuduh merayu agar hukuman ringan diberikan kepada tertuduh dengan alasan dia menanggung ibu dan bapa yang menghidap penyakit darah tinggi serta diabetes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ehsan Nasarudin memohon hukuman setimpal diberikan dengan mengambil kira kerugian dialami mangsa.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun dan satu sebatan, namun memerintahkan hukuman berjalan daripada tarikh tertuduh ditangkap iaitu 22 Mei 2025. – KOSMO! ONLINE