SARIKEI – Seorang remaja perempuan dilaporkan lemas ketika mandi bersama seorang rakannya di Air Terjun Wong Ruan di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan pada pukul 4.16 petang semalam dan segera menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sarikei ke lokasi tersebut.
“Rakan mangsa berusia 20 tahun meminta bantuan penduduk kampung sebelum menghubungi polis serta bomba.
“Mayat mangsa yang berusia 14 tahun dijumpai pada pukul 3.45 petang. Remaja itu disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE