fbpx

Pemandu bas didapati positif morfin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pemandu bas ekspres yang ditahan AADK dipercayai positif dadah jenis morfin ketika membawa penumpang dari Lumut, Perak menuju ke Kemaman, Terengganu, hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN

GOMBAK – Seorang pemandu bas ekspres mengundang bahaya kepada penumpangnya apabila dipercayai positif dadah jenis morfin ketika ditahan di Plaza Tol Gombak, hari ini.

Pemandu lelaki berusia 30-an itu dicekup ketika dalam perjalanan membawa penumpang dari Lumut, Perak menuju ke Kemaman, Terengganu.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur, Hamidi Adam berkata pemandu tersebut mengakui sememangnya mempunyai sejarah mengambil dadah.

“Tapi sejak berapa lama dia ambil itu (dadah) kita kena siasat lagi. Pemandu kedua bas berkenaan juga kita periksa dan keputusannya negatif.

“Pemandu yang ditahan akan dibawa ke ibu pejabat AADK bagi tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 3 (1), Akta Penagih Dadah 1983,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar Ops Khas sempena Hari Raya Aidiladha di Stesen Penguat kuasa JPJ, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pemandu tersebut antara 44 yang diperiksa menerusi operasi penguatkuasaan sempena Hari Raya Aidiladha yang dijalankan hari ini.

Hamidi berkata, dalam operasi yang berjalan sejak pukul 1 petang tadi, sebanyak 620 kenderaan diperiksa manakala 60 daripadanya diambil tindakan.

Beliau berkata, tindakan diambil atas pelbagai kesalahan antaranya cermin gelap, insurans tamat tempoh, tidak memperbaharui lesen kenderaan motor dan lesen memandu kompeten, nombor pendaftaran tidak mengikut spefikasi dan lain-lain.

Mengulas lanjut, Hamidi berkata operasi bersepadu yang bermula sejak 4 Jun lalu mendapat kerjasama dengan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Jabatan Imigresen, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia dan AADK.

Ujarnya, dalam tempoh tujuh hari operasi dijalankan, sebanyak 33,988 kenderaan diperiksa manakala 1,111 daripadanya diambil tindakan.

“Sebanyak 2,437 notis saman dikeluarkan dan 26 kenderaan terdiri daripada 23 motosikal, dua kereta dan lori kecil disita. Kesalahan yang paling banyak adalah teknikal seperti motosikal, brek, tayar botak iaitu 718 kesalahan.

“Diikuti dengan kesalahan berkaitan lesen tamat tempoh atau tiada perlindungan insurans (657 kesalahan) dan tiada lesen memandu atau tamat tempoh (625 kesalahan),” katanya.

Katanya, JPJ akan terus komited dalam memastikan keselamatan seluruh pengguna jalan raya bagi memastikan kadar kemalangan dapat dikurangkan dari semasa ke semasa.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI