IPOH – Dua pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam nahas jalan raya yang meragut nyawa 15 rakan seuniversiti di Gerik semalam dilaporkan masih dalam keadaan trauma.
Timbalan Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Noraini Ahmad berkongsi keadaan pelajar tersebut yang kini menerima rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
“Dalam keadaan ini sekiranya terjadi kepada sesiapa pun, perasaan trauma itu semestinya ada. Apatah lagi bila kenderaan (dinaiki pelajar) itu terbalik.
“Selain daripada UPSI, kementerian juga menawarkan khidmat kaunseling kepada mangsa. Kita harapkan mereka cepat sembuh dan kembali bersemangat untuk meneruskan pengajian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Lili Suzana Mat Yaacob, 23, dan Nor Erika Elysha Mohd. Zaidi, 21, yang dirawat di HRPB.
Mengulas lanjut beliau berkata, di samping kaunseling kepada mangsa yang terselamat, khidmat sama juga diberikan kepada waris pelajar yang meninggal dunia.
“Kita telah maklumkan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Terengganu untuk menghubungi senarai keluarga mangsa bagi menawarkan perkhidmatan kaunseling,” katanya. – KOSMO! ONLINE