SINTOK – Orang ramai diminta menjaga adab dan berpada-pada dalam menghasilkan kandungan mahupun memberi komen berhubung nahas meragut 15 nyawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Gerik, Perak pada semalam.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu bagi menjaga privasi dan perasaan semua keluarga mangsa yang terlibat.
“Saya ada terlihat satu kandungan (media sosial) yang dihasilkan. Ada individu yang singgah ke lokasi (kemalangan) itu dan membuat konten di dalam bas tersebut.
“Walaupun mesejnya adalah mesej takziah tetapi bagi saya itu satu kawasan kemalangan yang dalam siasatan pihak berkuasa, maka berpada-padalah dalam menghasilkan kandungan,” katanya pada sidang akhbar Forum Mini 4 MPI-UUM: Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Katanya, tragedi berkenaan dijangka dibincangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri yang berlangsung esok.
“Tetapi sudah pasti kita akan nantikan laporan daripada pihak berwajib dan berdasarkan laporan itu, kita boleh tahu apakah tindakan-tindakan lanjut sama ada daripada segi penguatkuasaan yang perlu diambil,” ujarnya.
Dalam insiden awal pagi semalam, seramai 15 penuntut UPSI terkorban dan tujuh parah apabila bas yang mereka naiki terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak. – KOSMO! ONLINE