fbpx

Nahas UPSI: 3,000 beri penghormatan terakhir kepada 13 jenazah mangsa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhammad Khalil (tengah) memimpin solat jenazah 13 pelajar UPSI di Masjid Hadhari, Jerteh, Besut hari ini.

BESUT – Seramai lebih 3,000 terdiri dalam kalangan sanak-saudara dan masyarakat setempat memenuhi pekarangan Masjid Hadhari, Jerteh, di sini, hari ini untuk memberi penghormatan terakhir kepada 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi korban nahas bas persiaran di Gerik, Perak semalam.

Hadir sama 160 rakan mangsa dari kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak yang tiba dengan empat bas.

Van-van membawa jenazah tiga lelaki dan 10 perempuan terbabit tiba di pekarangan Masjid Hadhari tersebut pada pukul 3 pagi.

Van-van dari Unit Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh, Perak itu membawa jenazah Fakrul Arif Rosdi, 20; Mohammad Aqil Taqiuddin Mohd. Sofian, 23; dan Muhammad Mustaqim Rosde, 21.

Selain itu, jenazah Nik Amni Nadiah Nik Nor Zubir, 21; Nur Ainul Qistina Mat Ali, 21; Nur Dalila Farhana Mohamed Isma, 21; Nurly Sahirah Azman, 23; Nurul Fatihah Abu Setaman, 22; Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21; Sufea Adela Maslihaizan, 21; Fatin Nasrien Fadli, 22; Anis Soffiyyah Md. Zaidi, 20; dan Nor Ayuni Maslan, 21, turut dibawa pulang.

Solat jenazah kesemua mangsa dipimpin Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah Dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi.

Sejurus selesai solat jenazah pada pukul 3.20 pagi, kesemua jenazah pelajar UPSI terbabit kemudiannya dibawa ke kampung halaman masing-masing di sekitar daerah ini dan Setiu untuk dikebumikan.

Pengurusan jenazah kesemua mangsa ditanggung oleh kerajaan negeri Terengganu.

Terdahulu jenazah dua lagi mangsa iaitu Wan Nur Suhaila Wan Mohammad, 22, dan Muhammad Adib Hazim Halim, 21, masing-masing selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Amer dan Kampung Pasir Badak di sini pada pukul 11.13 malam dan 12.30 tengah malam.

Kesemua mangsa tersebut maut dalam nahas melibatkan bas persiaran di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak pada pukul 1 pagi semalam.

Sewaktu kejadian mereka dalam perjalanan pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim, Perak setelah bercuti Hari Raya Aidiladha. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI