fbpx

MOT rangka dasar baharu, kenderaan berat wajib ada ‘speed limiter’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke

PETALING JAYA – Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang merangka dasar baharu termasuk pelaksanaan mandatori pengehad kelajuan (speed limiter) pada kenderaan berat sebagai langkah memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

Menterinya, Anthony Loke Siew Fook, berkata, dasar berkenaan sedang diteliti secara menyeluruh, termasuk mekanisme bagi menutup sebarang ruang manipulasi apabila ia dikuatkuasakan kelak.

“Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya.

“Kami komited untuk melindungi pengguna jalan raya, terutama daripada ancaman pemandu tidak bertanggungjawab dan kenderaan berat yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Terdahulu, negara dikejutkan dengan nahas yang meragut nyawa 15 mahasiswa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) apabila bas sewa khas dari Jertih, Terengganu ke Tanjung Malim, Perak terbalik di Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik.

Tragedi tersebut turut mengakibatkan 33 lagi cedera termasuk pemandu dan kelindan bas, selain pemandu serta tiga penumpang MPV jenis Perodua Alza.

Dalam pada itu jelas beliau, Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada syarikat pengendali bas terlibat.

Pada masa sama katanya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sedang melaksanakan Pemeriksaan dan Audit Keselamatan (JISA) ke atas bas serta syarikat terbabit mengikut peruntukan Akta Pengangkutan Jalan (Akta 333) dan Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715).

“Tindakan tegas akan diambil sejurus siasatan selesai. Kerajaan tidak akan berhenti dalam usaha memperkukuh dasar keselamatan jalan raya,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI