PETALING JAYA – Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menegaskan komitmennya untuk tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku atau pelanggaran integriti dalam kalangan kakitangannya.
Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh berkata,tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana kakitangan yang didapati bersalah berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.
“Kami tidak akan sesekali melindungi kakitangan yang terlibat dalam isu salah laku. Semua yang terlibat akan dikenakan tindakan sewajarnya mengikut undang-undang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) berhubung aduan terhadap AADK Negeri Sembilan yang didakwa melepaskan penagih dadah yang didapati positif semasa operasi serbuan, baru-baru ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan siasatan ini dijalankan hasil aduan yang diterima mengikut subseksyen 27(4) Akta Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan 2009.
Sehubungan itu, EAIC memutuskan untuk merujuk dapatan perlakuan jenayah kepada Pendakwa Raya mengikut subperenggan 30(1)(c) Akta 700.
Ini termasuk merujuk dapatan berkaitan kesalahan pegawai AADK terlibat kepada Pihak Berkuasa Tatatertib dengan syor hukuman tatatertib menurut subperenggan 30(1)(b) Akta 700. – KOSMO! ONLINE