MUNICH – Pengendali Portugal, Roberto Martinez puas dapat membantu pasukan menamatkan penantian enam tahun memburu piala dengan menjulang trofi Liga Negara-Negara Eropah (UNL) menewaskan juara bertahan, Sepanyol pada aksi final awal pagi semalam.
Pada aksi di Allianz Arena itu, skuad Selecao meraih gol menerusi Nuno Mendes dan Cristiano Ronaldo untuk mengikat kedudukan 2-2 bagi mengheret aksi ke penentuan sepakan penalti.
Penjaga gol, Diogo Costa muncul wira Portugal apabila menyelamatkan sepakan penalti kapten Sepanyol, Alvaro Morata untuk menang dengan keputusan 5-3.
Kata Martinez, semangat juang dipamerkan pasukan sangat luar biasa bagi merealisasikan impian untuk menjulang piala antarabangsa pertama sejak bergelar juara UNL edisi 2019.
“Saya sangat bangga kerana bukan mudah untuk menang di pentas final tetapi barisan pemain memiliki kepercayaan tinggi di atas padang. Kami ketinggalan dua kali tetapi bangkit mengheret perlawanan hingga ke penentuan penalti.
“Pujian wajar diberikan kepada semua tidak kira dalam kesebelasan utama atau pemain gantian. Mereka telah buktikan pasukan layak untuk merampas gelaran UNL kali ini,” katanya.
Sementara itu, Mendes yang meraih anugerah pemain terbaik (MVP) mengakui seperti tidak percaya dapat mengharungi musim yang sempurna selepas turut melakar gelaran trebel di peringkat kelab bersama Paris Saint-Germain baru-baru ini.
“Saya hanya cuba untuk kekal konsisten tidak kira ketika bersama pasukan kebangsaan atau di peringkat kelab. Kali ini saya berjaya mengekang Lamine Yamal untuk membantu pasukan melakar kemenangan,” katanya. – AGENSI