GEORGE TOWN – Isu keselamatan dan penambahbaikan infrastruktur Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri, esok.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kementeriannya memandang serius kejadian kemalangan membabitkan sebuah bas yang mengorban 15 nyawa semalam, dan menegaskan perlunya tindakan segera diambil bagi meningkatkan keselamatan di laluan berkenaan.
“Perkara ini akan saya bangkitkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri esok untuk kita melihat apakah langkah-langkah segera yang boleh diambil, khususnya isu keselamatan di JRTB ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan majlis CruiseWorld Malaysia 2025 di sini, hari ini.
Dalam insiden awal pagi semalam, seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terkorban dan tujuh parah apabila bas yang mereka naik terbabit dalam kemalangan dan terbalik di Jalan Raya Timur Barat, berhampiran Tasik Banding, Perak.
Dalam pada itu, ditanya mengenai keadaan infrastruktur jalan di laluan tersebut, Anthony berkata, aspek seperti penghadang jalan yang sesuai dan pencahayaan turut diberi perhatian.
“Dari segi spesifikasi dan tindakan lanjut berkaitan penghadang jalan, itu di bawah Kementerian Kerja Raya (KKR). Namun begitu, aspek keselamatan jalan raya memerlukan kerjasama antara pelbagai kementerian,” katanya.
Jelasnya, kementeriannya akan mengambil inisiatif untuk memasang lampu jalan jenis solar bagi mengatasi masalah pencahayaan pada waktu malam di laluan itu.
Anthony berkata, beliau akan melakukan lawatan ke tapak kejadian pada Khamis bersama pihak berkaitan bagi menilai sendiri keadaan dan keperluan tindakan segera. – KOSMO! ONLINE