BERA – “Masih terngiang-ngiang suara isteri memanggil saya. Dia jerit ‘abang’ sambil lambai tangan sebelum hilang. Saya panggil nama dia (sayang), tetapi tiada jawapan.”
Demikian cerita Abdul Wahid Randa,32, suami Sakirah Akop, 31, yang hilang selepas terjatuh Sungai Triang di sini semalam
Dalam kejadian pukul 1.30 tengah hari itu, Sakirah bersama bayi perempuan mereka berada dalam kereta Perodua Bezza yang diparkir sebelum bergerak secara tiba-tiba menggelongsor ke dalam sungai.
Bagaimanapun, ketika kejadian Sakirah sempat menyerahkan bayi kepada suaminya sebelum dihanyutkan arus deras
Menurut Abdul Wahid, dia berada di tebing sungai untuk memancing dan terdengar isterinya menjerit sebelum melihat keretanya bergerak ke dalam sungai.
“Saya cuba menahan kereta dan pergi ke arah isteri. Dia membuka pintu sambil kaki menolak pintu dan menyerahkan anak kepada saya.
“Saya bawa anak naik dan tinggalkannya di atas. Bila hendak turun ke sungai untuk selamatkan isteri, anak mengekori saya. Semasa itu, saya nampak isteri hanyut dibawa arus,” katanya ketika ditemui hari ini.
Lelaki itu memberitahu, dia menjerit meminta tolong, namun tiada sesiapa di kawasan sekitar sebelum berlari ke pasar berdekatan bagi mendapatkan bantuan.
Katanya, ada penduduk yang datang ke lokasi namun mereka tidak dapat berbuat apa-apa kerana arus sungai yang deras.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, kereta Abdul Wahid ditemukan Pasukan Penyelamat di Air (PDPA) pada pukul 10.45 pagi tadi.
“Kereta itu dinaikkan pada pukul 12.30 tengah hari tadi bagaimanapun, tiada jasad di dalamnya. Usaha mencari dan menyelamat akan diteruskan dalam radius 200 meter dari lokasi mangsa hilang,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE