SHAH ALAM – Legenda Jepun, Keisuke Honda melabel bola sepak di Asia Tenggara termasuk Malaysia sedang menuju ke arah yang lebih baik bagi mewujudkan persaingan sihat d kalangan negara-negara di rantau ini.
Bekas bintang kelab Itali, AC Milan itu menjadikan Indonesia sebagai contoh terbaik dan merasakan negara lain juga pastinya sedang mengintai peluang untuk menjadi lebih kompetitif pada masa akan datang.
“Saya fikir ia bergantung kepada beberapa negara di Asia Tenggara yang masih mencari peluang bagaimana untuk membangun termasuk juga Malaysia serta negara-negara lain.
“Indonesia sudah melakukannya dengan baik sejak beberapa tahun dan saya fikir mereka ada peluang untuk menuju ke tahap lebih tinggi, sebab itu mereka beraksi baik sejak kebelakangan ini.
“Sebab itu saya begitu teruja untuk menjadi sebahagian daripada bola sepak di Asia Tenggara,” katanya.
Selain merekrut pemain berdarah warisan, beberapa negara seperti Indonesia, Singapura dan Vietnam pernah mengambil pendekatan memberikan kerakyatan kepada tonggak pilihan yang dirasakan mampu melonjakkan skuad kebangsaan ke arah lebih baik.
Harimau Malaya kini turut diperkuatkan dengan pemain naturalisasi dan warisan termasuk lima bintang baharu, Facundo Garces, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Joao Figueiredo dan Rodrigo Holgado.
“Saya fikir ini (usaha negara Asia Tenggara mencari ruang tambah baik) adalah sesuatu yang bagus di mana kuota pasukan di Piala Dunia juga sudah pun meningkat,” tambah Honda. – KOSMO! ONLINE