fbpx

Hati-hati pukul anak, kalau cedera teruk…. – Majistret

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI Noor Hajar Abd. Manaf keluar daripada Mahkamah Majistret Shah Alam, Shah Alam selepas selesai sesi perbicaraan kes dera yang melibatkan dirinya hari ini-FOTO/ AFIQ RAZALI

SHAH ALAM – Seorang wanita dihukum penjara tujuh hari oleh Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan mendera anak gadisnya berusia 16 tahun di Kampung Sri Puchong, Puchong pada Rabu lalu.

Tertuduh, Siti Noor Hajar Abd. Manaf, 37, dijatuhi hukuman itu selepas mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut di hadapan Majistret Muhammad Syafiq Sulaiman.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan kekasihnya mendera mangsa pada pukul 12.43 tengah hari dan pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 323 dan Seksyen 326A Kanun Keseksaan.

Sebelum itu pengadu menerima satu rakaman video temu bual antara Jabatan Kebajikan Masyarakat dengan mangsa yang mana dalam video tersebut gadis itu memaklumkan pada pegawai bahawa dia dipukul.

Susulan itu, sepasukan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya pergi ke rumah Siti Noor Hajar pada pukul 2 pag bagi melakukan tangkapan ke atas tertuduh dan teman lelakinya.

Timbalan Pendakwa Raya, Muaz Khawarizmi Azfar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kepada Siti Noor Hajar sebagai pengajaran tertuduh.

Namun peguam, A. Puvanasvary memohon hukuman ringan memandangkan anak guamnya adalah ibu tunggal.

“Tertuduh dalam proses perceraian. Sudah beberapa bulan dia tidak bekerja setelah berhenti akibat serangan strok ringan. Harap mahkamah kenakan hukuman penjara dalam tempoh singkat kepada tertuduh,” katanya.

Majistret Muhammad Syafiq memutuskan hukuman penjara tujuh hari berkuat kuasa dari tarikh Siti Noor Hajar ditahan pada 5 Jun.

“Mahkamah harap selepas ini kamu berhati-hati ketika memukul anak-anak. Jangan sampai dia tercedera teruk. Kalau tercedera teruk, kamu boleh dihukum di bawah Akta Kanak-Kanak. Hukuman dalam akta ini lebih berat,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI