PASIR MAS – Hasil padi di Kelantan bertambah baik apabila terdapat sesetengah kawasan di bawah kendalian Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) mula mencapai kutipan lapan tan untuk sehektar pada musim 2/2024.
Pengerusi Kada, Khalid Abdul Samad berkata, kutipan itu dipacu oleh kerja keras agensi berkenaan dan komitmen tinggi petani dalam meningkatkan pengeluaran.
“Secara purata hasil tuaian padi di negeri ini masih berada pada tahap 4.5 tan satu hektar. Bagi kawasan yang bermasalah, kita hanya mencapai hasil 3.5 tan untuk satu hektar.
“Kada akan mengkaji dan mencari punca masalah yang membawa kepada pengeluaran hasil padi rendah,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Korban Kada di Pejabat Kada Pasir Mas di Tendong di sini hari ini.
Khalid memberitahu, pihaknya akan terus berusaha meningkatkan pegeluaran supaya bekalan makanan negara terus mencukupi.
Katanya, setakat ini sebanyak 10,959 hektar padi sudah dituai daripada jumlah sebenar kawasan tanaman seluas 25,105 hektar. – KOSMO! ONLINE