REMBAU – Seorang wanita sedih mengenangkan nasib anak sulung dan adiknya yang ditidurkan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban selepas melanggar sekumpulan lembu di Jalan Bongek-Gadong, di sini pada Khamis lalu.
Miss Mayuedah Ishak, 35, berkata, ketika kejadian, adiknya, Saiful Aiman Muhd. Azmir, 15, serta anak sulung wanita itu, Muhammad Aliff Syafiq Mohd. Efree Zawani Ridzwan, 17, dalam perjalanan untuk membersihkan kebun bagi tujuan ibadah korban.
Menurutnya, kejadian pada pukul 3 petang itu mengakibatkan kedua-dua mangsa mengalami pendarahan dalam kepala.
“Kedua-duanya dipindahkan ke HTJ dari Hospital Rembau dan ditidurkan kerana mengalami pendarahan dalam kepala. Keadaan itu mungkin disebabkan hentakan kuat semasa terjatuh motosikal setelah merempuh kumpulan lembu tersebut.
“Sampai hari ini, saya dan ibu tak putus-putus berdoa supaya mereka pulih seperti biasa. Sekarang kami berulang-alik ke hospital setiap petang bagi menziarahi mereka,” katanya ketika ditemui di Kampung Baru Chengkau Ulu, di sini, semalam.
Miss Mayuedah berkata, kemalangan membabitkan haiwan ternakan itu bukan kali pertama berlaku di perkampungan tersebut, bahkan sudah banyak kali sehingga ada yang meragut nyawa.
Menurutnya, dua bulan lalu kejadian serupa berlaku membabitkan seorang guru yang dalam perjalanan ke sekolah di perkampungan berhampiran.
“Guru itu dilaporkan koma dan kini sudah beransur pulih. Kejadian ini dapat dielakkan sekiranya pemilik ternakan meletakkan haiwan dalam kandang.
“Bila ditanya dalam kumpulan WhatsApp kampung, tiada siapa mengaku. Saya harap kejadian ini dipandang serius individu berkaitan kerana banyak kali haiwan ternakan dibiarkan bebas berkeliaran menyebabkan nahas kepada pengguna jalan raya.