JAKARTA – Seorang lelaki di wilayah Jawa Tengah ditahan selepas melanggar kereta yang membawa Ketua Polis Kendal sebelum dia memukul anggota yang memandu kenderaan tersebut, lapor saluran berita CNN Indonesia semalam.
Kejadian berlaku Khamis minggu lalu ketika konvoi yang membawa Asisten Komisioner Hendry Susanto Sianipar melalui Jalan Soekarno Hatta, Kendal.
Ketika kejadian, anggota polis mendapati bahawa kereta itu dipandu suspek, BH, dalam keadaan berbahaya.
Mereka kemudian cuba memberi amaran kepada suspek agar dia memandu dengan berhati-hati sebelum mengarahkannya untuk berhenti.
Namun, ketika dipintas oleh kereta polis, suspek enggan berhenti, sebaliknya melanggar kenderaan pihak berkuasa dari belakang.
Tidak cukup dengan itu, lelaki tersebut memukul anggota polis yang memandu kenderaan itu sebelum dia berjaya diberkas.
“Apabila melihat pelaku turun dan memukul anggota polis, kami cuba memberkasnya.
“Ketika ditangkap, pelaku memekik dan mengaku bahawa dia merupakan komando askar,” kata Hendry.
Selepas disiasat, suspek disahkan telah dilucutkan perkhidmatan ketenteraannya.
Suspek dibawa ke pejabat Unit Polis Perkhidmatan Awam Kendal dan disoal siasat. – AGENSI