fbpx

Bas ekspres bawa pelajar UMPSA rempuh treler di LPT 1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN bas membawa 20 pelajar UMPSA yang remuk di bahagian depan selepas merempuh belakang sebuah lori treler di Kilometer 161.5 Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) arah Timur, awal pagi ini.

MARAN – Seramai 28 penumpang termasuk 20 pelajar Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) berdepan detik cemas apabila bas ekspres yang dinaiki melanggar belakang treler di Kilometer 161.5, Lebuhraya Pantai Timur (LPT1) awal pagi ini.

Dalam kejadian pukul 1 pagi itu, bas ekspres tersebut dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur menuju ke Terminal Sentral Kuantan.

Ketua Polis Daerah Maran, Superintendan Wong Kim Wai berkata, siasatan awal mendapati bas dipandu lelaki berusia 38 tahun itu melanggar belakang treler yang berada di lorong kiri.

“Ketika kejadian, treler tersebut sedang bergerak lurus di lorong kiri sebelum dirempuh dari belakang oleh bas yang membawa 28 penumpang termasuk mahasiswa.

“Tiada kecederaan melibatkan semua mangsa termasuk pemandu kedua-dua kenderaan serta kelindan lori. Kesemua penumpang dipindahkan ke bas gantian sebelum meneruskan perjalanan ke Kuantan,” katanya di sini hari ini.

Jelasnya, siasatan awal mendapati punca kemalangan dipercayai akibat kecuaian pemandu bas yang gagal mengawal kenderaannya.

Siasatan masih diteruskan di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMPSA, Haykal memaklumkan, seramai 20 pelajar UMPSA menaiki bas terbabit dan kesemua mereka selamat tanpa sebarang kecederaan.

Katanya, pelajar tiba di pekarangan Masjid UMPSA, Kampus Gambang pada pukul 3.56 pagi dan disambut pasukan MPP yang turut membantu memastikan mereka dihantar pulang dengan selamat ke kolej kediaman masing-masing. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI