SHAH ALAM – Pengendali Selangor FC, Katsuhito Kinoshi mahu anak-anak buahnya memanfaatkan aksi persahabatan menentang Asia Warriors FC pada 26 Julai ini sebaik mungkin untuk menimba ilmu baharu daripada pemain berstatus legenda Jepun, Keisuke Honda.
Aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya itu bukan semata-mata untuk memburu kemenangan, sebaliknya menjadi pentas pembelajaran berguna kepada pemain khususnya buat bintang muda meraih pengalaman sebelum memulakan saingan Liga Malaysia (Liga M) pada Ogos depan.
“Honda menghubungi saya dan dia katakan ‘saya mahu menentang kamu’. Dia mencipta satu pasukan legenda dan mahu menentang salah satu pasukan terbaik di Malaysia, jadi saya amat menghargai apabila Selangor FC dipilih.
“Saya kongsikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon dan memutuskan untuk menerima tawaran bagi perlawanan itu.
“Saya ingin beri peluang kepada semua termasuk pemain muda untuk beraksi dan menikmati pengalaman bertemu legenda bola sepak Asia.
“Ini bukan sekadar perlawanan bola sepak tetapi platform terbaik untuk mereka belajar daripada yang terbaik,” katanya pada sidang akhbar perlawanan di Pusat Latihan Selangor FC hari ini.
Selain Honda, perlawanan itu akan menampilkan beberapa legenda bola sepak dari sembilan negara termasuk dari rantau Asia Tenggara seperti Indra Putra Mahayuddin dan Razman Roslan (Malaysia), Anton Del Rosario (Filipina) serta Baihakki Khaizan (Singapura).
“Kami amat teruja untuk berdepan Selangor iaitu salah satu pasukan terkuat di Malaysia. Walaupun ia hanya aksi pertunjukkan, tetapi kami akan memberikan perlawanan yang terbaik buat penonton,” kata Honda. – KOSMO! ONLINE