PETALING JAYA – “Dia ada cakap risau kalau naik bas, memang jenis tak boleh tidur sepanjang perjalanan”.
Itu luahan pilu kakak kepada salah seorang mangsa, Nurul Izyanti Muhamad Azahar, 21, yang maut selepas terlibat dalam nahas jalan raya mengorbankan 15 individu di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi semalam.
Nurul Munirah,32, berkata, adiknya yang kini menuntut dalam jurusan Pendidikan di UPSI, merupakan pelajar tahun tiga dan baru pulang ke kampus selepas menyambut Aidiladha bersama keluarga di kampung.
“Arwah memang tak tunjuk apa-apa perubahan masa raya. Ceria macam biasa,” katanya ketika dihubungi semalam.
Bercerita lanjut Nurul Munirah berkata, keluarga mengetahui kejadian itu melalui Facebook dan terus bergegas ke Hospital Gerik.
“Memang terkejut. Tapi ibu bapa kami setakat ini masih cuba bertenang dan reda dengan ketentuan Allah,” katanya.
Cerita Nurul Munirah lagi, arwah pernah menyuarakan sedikit kebimbangan setiap kali menaiki bas, terutamanya apabila perlu menempuh perjalanan jauh seperti dari Terengganu ke Perak.
“Dia selalu kata susah nak lena kalau naik bas. Kadang-kadang rasa seram (sebab lalu kawasan gelap atau berbukit),” ujarnya.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) maut apabila bas yang mereka naiki hilang kawalan sebelum melanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Perodua Alza lalu terbalik di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat, berhampiran Tasik Banding, Gerik di sini semalam.
Ketika terbalik, sebahagian besi penghadang jalan telah tembus ke ruang kerusi penumpang bas persiaran itu.
Kejadian pada pukul 12.45 tengah malam itu berlaku ketika bas itu dalam perjalanan dari Jerteh, Terengganu membawa 42 pelajar pulang ke kampus UPSI di Tanjung Malim selepas cuti Hari Raya Aidiladha.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, MPV itu pula dinaiki sepasang suami isteri bersama dua anaknya berusia tiga dan enam tahun. Mereka dalam perjalanan pulang ke Baling, Kedah.
Katanya, siasatan awal mendapati, bas yang disewa khas oleh pelajar UPSI untuk pulang ke kampus itu telah melanggar belakang MPV berkenaan sebelum terbabas dan terbalik di bahu jalan.
“Ekoran itu, 15 pelajar maut manakala 27 yang lain cedera. Turut cedera ialah pemandu bas dan pemandu kedua.
“Semakan mendapati, bas itu bertolak dari Jerteh pada pukul 9 malam tadi (kelmarin) dan dijangka tiba di Tanjung Malim pada awal pagi hari ini (semalam),” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik di sini semalam.
Menurut Noor Hisam, kesemua pelajar yang terlibat dalam kemalangan itu berusia antara 21 hingga 23 tahun.














