fbpx
Muhammed Yusoff (kanan) dan Anwar.

Anwar dibenar tangguh sementara perbicaraan kes saman Yusoff Rawther

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan di sini hari ini membenarkan permohonan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk penangguhan sementara (ad interim) perbicaraan kes saman yang dikemukakan bekas pembantu penyelidiknya, Muhammed Yusoff Rawther yang sepatutnya bermula 16 Jun ini.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Datuk Supang Lian selepas membenarkan permohonan Anwar sehingga perbicaraan penuh penangguhan didengar dan diputuskan pada 21 Julai ini di mahkamah sama.

“Selepas mendengar hujahan perayu dan peguam responden, kami berpendapat bahawa Di bawah Seksyen 44 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Mahkamah diberi kuasa untuk membuat dan menambah perintah interim bagi memelihara integriti permohonan penangguhan sementara menunggu pelupusan permohonan tersebut,” kata Hakim Supang.

Dua lagi hakim yang turut bersidang ialah Datuk Faizah Jamaludin dan Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin.

Dengan keputusan itu tarikh perbicaraan kes saman tersebut pada 16 Jun ini ditangguh dan dilapangkan.

Semasa prosiding secara dalam talian Anwar diwakili peguam Alan Wong manakala Muhammed Yusoff diwakili peguam Muhammad Rafique Rashid.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan menetapkan hari ini bagi pendengaran ad interim permohonan Anwar untuk menangguhkan sementara prosiding saman difailkan terhadapnya pada 2021 oleh Muhammed Yusoff.

Minggu lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Roz Mawar Rozain, menolak permohonan Anwar untuk merujuk lapan persoalan undang-undang kepada Mahkamah Persekutuan, termasuk sama ada beliau mempunyai imuniti daripada saman sivil difailkan oleh Muhammed Yusoff.

Lapan persoalan undang-undang itu termasuk sama ada, di bawah Artikel 39, 40 dan 43 Perlembagaan Persekutuan, seorang Perdana Menteri yang sedang berkhidmat menikmati kekebalan terhad daripada tindakan undang-undang berkaitan dakwaan salah laku peribadi yang berlaku sebelum pelantikannya.

Roz Mawar turut menolak permohonan Anwar menangguhkan prosiding perbicaraan kes saman itu dan memerintahkan ia dijalankan mulai 16 Jun ini.

Muhammed Yusoff memfailkan saman terhadap Anwar pada 2021 selepas mendakwa diserang di kediaman Presiden PKR itu di Segambut pada Oktober 2018.

Dalam saman yang difailkannya, bekas penyelidik itu mendakwa, kejadian tersebut berlaku pada 2018, sebelum Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.

Berikutan dakwaan itu, Muhammad Yusoff selaku plaintif dituduh berkomplot untuk menjatuhkan dan merosakkan karier politik defendan, selain memberi impak kepada kesihatan mentalnya kerana mendapat kritikan pelbagai pihak. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI