SINTOK – Sebanyak 13,470 unit WiFi telah dipasang di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seluruh negara dalam usaha mempertingkatkan capaian internet dalam kampus universiti.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pemasangan WiFi sudah berada pada fasa kedua dengan sasaran pemasangan sebanyak 32,000 unit.
“Daripada 32,000 unit WiFi yang hendak dipasang di semua universiti awam, lebih kurang 13,000 hingga 14,000 telah dipasang.
“Kita jangka untuk fasa kedua akan selesai dalam tempoh lebih kurang lima atau enam minggu dari sekarang,” katanya pada sidang akhbar Forum Mini 4 MPI-UUM: Siber, Suara dan Sempadan: Merungkai Dinamika Kebebasan Media dalam Era Digital di Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini hari ini.
Katanya, fasa ketiga dijangka bermula tahun ini juga dengan ia turut melibatkan aspek penambahbaikan.
Tambahnya, selain IPTA, pihaknya juga melaksanakan program yang sama di politeknik dan juga kolej-kolej komuniti.
Pada Januari lalu, media melaporkan Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menaik taraf akses internet di 23 IPTA menerusi peruntukan berjumlah RM668 juta.
Menteri Komunikasi itu berkata, kerja-kerja menaik taraf akan melibatkan beberapa fasa dan dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini. – KOSMO! ONLINE