KOTA BHARU – Syarikat bas mengambil pendekatan mengunci mulut berhubung rakaman video tular yang memaparkan kenderaan tersebut dipandu laju sebelum terbalik sehingga mengorbankan seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak hari ini.
Pegawai Operasi Syarikat Kenari Utara Travel And Tours (Kenari Utara), Mohd. Nazri Nawi berkata, beliau belum mendapat kebenaran daripada syarikat berkenaan untuk memberikan sebarang komen berhubung kejadian tersebut.
“Saya minta maaf dan syarikat tidak memberi kebenaran untuk buat sebarang komen berkaitan kejadian termasuk mengenai video tular,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, seorang pengguna laman sosial yang dikenali sebagai Hanz Hanz memuat naik rakaman kamera papan pemuka sebuah kereta yang memaparkan detik cemas sebelum bas tersebut terbalik.
Rakaman berdurasi 39 saat menunjukkan bas tersebut dipandu dalam keadaan laju sebelum terbalik selepas memotong kenderaan lain. – KOSMO! ONLINE