GERIK – Mayat bergelimpangan dalam longkang dan atas besi pengadang jalan merupakan antara ‘pemandangan’ yang disaksikan anggota penyelamat yang tiba di lokasi nahas di Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.
Malah ada mayat yang ditemukan dalam keadaan tidak sempurna dalam kejadian kemalangan pada pukul 1 pagi tersebut yang mengorbankan seramai 15 mangsa.
Ketua Balai Bomba Gerik, Mohd. Azizan Abd. Aziz berkata, anggotanya yang tiba lebih awal mendapati sebahagian mangsa yang terselamat duduk di luar di bahagian hadapan bas yang terbalik sambil menunggu ketibaan ambulans.
Katanya, dalam kejadian itu, pihaknya mengeluarkan enam lagi mangsa yang berada di dalam bas dengan dua daripada mereka masih bernyawa.
“Ada mayat yang berada dalam longkang dan atas rail (besi pengadang jalan). Sepanjang perkhidmatan saya di sini, ini kemalangan melibatkan paling ramai mangsa iaitu 48 orang,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam operasi itu, seramai 17 anggota bomba terlibat dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik dan BBP Jeli selain selain anggota polis, Kementerian Kesihatan dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Seramai 13 mangsa maut di lokasi kejadian, manakala dua lagi mangsa meninggal dunia di hospital. Kesemua mereka adalah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Difahamkan, bas tersebut yang disewa oleh pelajar terbabas selepas melanggar belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Jelas Azizan, pihaknya terpaksa membuka bumbung bas untuk mengeluarkan beberapa mangsa yang masih berada di dalamnya.
Operasi mengalihkan bas yang terbalik bermula pada pukul 2.40 petang dan mengambil masa selama 45 minit. Kenderaan itu kemudian ditunda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik. – KOSMO! ONLINE