PETALING JAYA – Pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang maut dalam perjalanan ketika pergi menuntut ilmu pagi tadi termasuk dalam golongan mati syahid.
Berdasarkan penjelasan Ustaz Ubaidillah Al-Musawi, ia adalah berdasarkan hadis yang disabdakan oleh Nabi Muhammad SAW yang diriwayatkan At-Thobrani.
“Terkait kemalangan bas melibatkan pelajar UPSI yang sebahagiannya meninggal dunia, apakah boleh kita mengatakan dia (mangsa) mendapat syahid?
“Jawapannya, ya. Ini berdasarkan apa yang disabdakan oleh baginda Rasulullah SAW maksudnya: “Orang yang jatuh dari tunggangan lalu meninggal maka dia syahid.” (Hadis Riwayat At-Thobrani),” kongsi beliau.
Ustaz Ubaidillah berkata, kesemua 15 mangsa bahkan mendapat dua kali syahid kerana bukan sahaja maut dalam kemalangan, malah ‘pergi’ ketika dalam perjalanan mahu menuntut ilmu.
“Ini kerana perjalanannya menuju ke medan ilmu berdasarkan hadis Nabi SAW yang lain. Nabi bersabda; ‘Barang siapa yang keluar untuk mencari ilmu, maka ia berada di jalan Allah hingga ia pulang.’ (Hadis Riwayat At-Tirmizi),” katanya.
Ustaz Ubaidillah berkata, menuntut ilmu umpama jihad, maka mati di medan jihad syahid bermaksud meninggal di medan ilmu syahid.
“Maka berkumpullah dua syahid kepada mangsa-mangsa kemalangan bas yang membawa pelajar UPSI,” katanya.
Sebelum ini Kosmo! Online melaporkan seramai 15 orang maut dalam nahas membabitkan sebuah bas membawa 42 pelajar UPSI dengan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di JRTB, Gerik, pagi tadi.
Difahamkan, ketika kejadian bas tersebut dalam perjalanan ke kampus UPSI Tanjung Malim dari Jerteh, Terengganu.
Angkatan Pertahanan Awam (APM) berkata, Pusat Kawalan Operasi Bencana Banun menerima panggilan berhubung kejadian melibatkan 48 mangsa pada pukul 1.10 pagi.
Katanya, anggota APM yang tiba di lokasi pada pukul 2.11 pagi mendapati kemalangan melibatkan MPV Perodua Alza dan bas yang sudah terbalik.
Anggota APM membawa beberapa mangsa yang cedera ke Hospital Gerik. Mangsa mengalami kecederaan patah tangan, patah kaki dan cedera ringan. – KOSMO! ONLINE