PETALING JAYA – Seorang pengguna Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat (WCE) meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan caj tol melampau meskipun mereka hanya menggunakan sebahagian kecil laluan tersebut.
Menerusi perkongsian di laman media sosial, dia yang menggunakan sistem RFID, berkongsi pengalaman dikenakan caj sebanyak RM11.44 untuk perjalanan dari Lekir ke Sitiawan Utara, sedangkan kadar biasa hanya RM2.80.
“Saya tak buat pusingan-U pun, tapi sistem cas saya seolah-olah masuk dari Taiping dan buat ‘U-turn’. Bila saya hubungi TnG, mereka kata ramai juga yang sudah mengadu perkara sama. Mereka minta tunggu kerana nak semak rakaman CCTV,” katanya.
Masalah sama turut menimpa pengguna lain yang mengadu jadi mangsa sistem RFID yang didakwa bermasalah.
“Saya dari Teluk Intan masuk WCE dan keluar di Kampung Tebuk Batu 6, tapi caj dikenakan RM12.95. Bila tanya, mereka kata saya kononnya keluar dari Taiping,” komen Sal Ibrahim.
“Saya hanya masuk dari Changkat Cermin dan keluar di Sitiawan, tapi tetap dikenakan caj dari Taiping juga. Masalah ni memang kerap berlaku pada pengguna RFID,” kata Nurul Nadia
“Kalau buat U-turn, sistem akan kira tol dari laluan asal yang paling jauh. Saya pernah kena dulu, masuk di Selangor tapi dikenakan caj seolah-olah dari Johor,” jelas Doc Hairul Lee
Susulan insiden ini, pengguna dinasihatkan untuk semak semula rekod transaksi tol dan segera hubungi TnG di talian 03-5022 3888 sekiranya terdapat sebarang caj tidak munasabah.
Ramai berharap pihak WCE dan TnG dapat memperbaiki sistem RFID yang semakin kerap dipersoalkan, khususnya dalam aspek pengesanan laluan dan caj automatik yang tidak tepat. -KOSMO! ONLINE