GOMBAK – Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun maut selepas motosikal yang ditunggang merempuh sebuah lori di Kilometer 4, Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (Duke), Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohammad Nasir berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada pukul 9.23 malam.
“Hasil siasatan mendapati kemalangan berlaku kira-kira pukul 4.30 pagi berhampiran susur Jalan Taman Samudera Selatan.
“Mangsa dipercayai dalam perjalanan dari arah Sentul menghala ke Sri Gombak sebelum melanggar belakang sebuah lori, namun jenis dan nombor pendaftaran tidak dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Ariffin berkata, insiden itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan dalaman serius sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma, Hospital Kuala Lumpur.Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat trafik, Inspektor Amira Abu Hassan di talian 019-6026596. – KOSMO! ONLINE