JERANTUT – Polis meminta bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi mencari seorang pemuda orang kurang upaya (OKU) yang hilang sejak 2 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Zukri Muhammad berkata, mangsa Sabri Ismail,36, yang mengalami masalah mental keluar dari rumahnya di Taman Seri Embun pada 2 Jun lalu dan tidak pulang ke rumah sehingga hari ini.
“Mangsa bertubuh gempal, berketinggian 178 sentimeter dan berat 90 kilogram dan ketika keluar daripada rumah memakai baju T hitam, seluar panjang berwarna biru gelap, berkaca mata dan selipar,” katanya di Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Jerantut di sini hari ini.
Menurut Zukri, lokasi terakhir mangsa yang merupakan pemegang kad OKU itu dilihat berjalan ialah di sekitar Taman Seri Embun dan disedari oleh ahli keluarganya apabila tidak pulang ke rumah pada tarikh tersebut.
Katanya, polis meminta orang ramai yang terjumpa pemuda OKU tersebut agar terus melaporkan ke balai polis berdekatan atau terus menghubungi Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat polis Daerah (IPD) Jerantut di talian 09-2662222. – KOSMO! ONLINE