PENGARAH bola sepak FC Porto, Jorge Costa menegaskan pasukannya tidak datang ke kejohanan Piala Dunia Kelab 2025 untuk ‘makan angin’, sebaliknya meletakkan sasaran tinggi menjelang aksi pertama yang akan berlangsung 15 Jun ini.
Sebagai rekod, Porto menjadi salah satu kelab yang mewakili benua Eropah dan diundi dalam Kumpulan A bersama Palmeiras (Brazil), Al Ahly (Mesir) serta Inter Miami (Amerika Syarikat).
Menurut Costa, semua pasukan pesaing dalam Kumpulan A mempunyai gaya permainan yang berbeza dan berpotensi memberikan cabaran sengit.
Costa berkata, Palmeiras yang dikendalikan oleh Abel Ferreira yang cukup arif dengan bola sepak di Portugal pernah mengendalikan kelab Braga sebagai ancaman utama.
“Kami tidak datang ke sini untuk bercuti. Namun, kita boleh lihat semua pasukan dalam Kumpulan A sangat sengit terutama Palmeiras.
“Selain itu, Inter Miami juga memiliki kelebihan selaku pasukan tuan rumah dengan barisan pemain berkualiti serta jurulatih baharu,” kata Costa.
Sebagai persiapan untuk mengharungi kejohanan berprestij itu, Porto sedang dalam proses mendapatkan pemain tengah Sepanyol, Gabri Veiga daripada Al Ahli.
Veiga juga menunjukkan komitmen tinggi dengan bersedia mengurangkan gajinya untuk menyertai Porto dan akan memperkuatkan pasukan sebelum kejohanan berlangsung nanti.
Posisi serangan menjadi kekuatan utama Porto dengan Samu Aghehowa menjadi tumpuan selepas menjaringkan 25 gol musim ini, termasuk 19 gol dalam liga.
Penjaga gol utama, Diogo Costa, yang juga kapten The Dragons dijangka menjadi watak penting selepas mencatat 14 perlawanan tanpa bolos dalam 27 perlawanan liga musim ini.
KUMPULAN A
FC PORTO
Nama gelaran: The Dragons
Jurulatih: Martin Anselmi
Kapten: Diogo Costa
Tiket kelayakan: No. 5 ranking kelab paling konsisten Eropah