fbpx

Piala Dunia Kelab: Miami tagih magis Messi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MESSI dan Suarez bakal menjadi taruhan Miami untuk memberikan cabaran kepada saingan Kumpulan A. - AFP

WALAUPUN baru ‘setahun jagung’, reputasi Inter Miami di Liga Bola Sepak Amerika (MLS) tidak boleh disangkal sejak ditubuhkan secara rasmi pada 2018.

Miami yang dimiliki legenda bola sepak England, David Beckham siap sedia melakukan debut bersejarah dalam saingan Piala Dunia Kelab 2025 selepas bergelar juara MLS Supporters Shield edisi 2024.

Kehadiran The Herons bukanlah sebagai pelengkap, sebaliknya berhasrat untuk mencabar kejuaraan berprestij selepas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menjenamakan semula kejohanan kelab antara benua kali ini.

Berdasarkan senarai pemain, Miami masih lagi memiliki ramai pemain berkelas dunia seperti pemenang Ballon d’Or lapan kali, Lionel Messi selain dibantu bekas rakan sepasukannya di Barcelona, Sergio Busquets, Luis Suarez dan Jordi Alba.

Messi bukan sahaja ikon global tetapi kapten dan kehadirannya sejak 2023 telah meningkatkan reputasi pasukan selain menaikkan lagi motivasi barisan pemain untuk memberi cabaran dalam semua kejohanan yang disertai.

Selain itu, kepakaran taktikal ketua jurulatih, Javier Mascherano juga memberi kelebihan kerana bekas bintang Argentina itu memahami taktikal moden dan mempunyai hubungan rapat dengan barisan pemain khususnya Messi.

Mascherano sebelum ini menegaskan pasukannya bersedia untuk menggalas cabaran getir di pentas Piala Dunia Kelab meskipun mengakui perbezaan tahap berbanding kelab-kelab elit dari Eropah dan Amerika Selatan.

“Kami mungkin bukan pasukan pilihan, tetapi kami akan turun dengan semangat juang yang tinggi dan keinginan untuk bersaing.

“Ini adalah peluang untuk menonjolkan siapa kami di mata dunia khususnya ketika bertemu Palmeiras dan Porto nanti,” kata Mascherano.

KUMPULAN A

Pasukan: Inter Miami (AS)

Gelaran: The Herons

Jurulatih: Javier Mascherano

Kapten: Lionel Messi

Tiket kelayakan: Juara MLS Supporters Shield 2024

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI