SUNGAI PETANI – Seorang wanita warga Thailand berusia lingkungan 30-an patah kaki kanan selepas terjun dari tingkat satu sebuah rumah kedai yang dijadikan pusat pelacuran dalam kejadian kira-kira pukul 2.30 petang di sini hari ini.
Wanita tersebut yang cuba melarikan diri daripada pihak berkuasa dalam operasi cegah jenayah kemudian dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dengan ambulans untuk rawatan.
Dua lagi wanita yang disyaki turut menawarkan aktiviti tidak bermoral ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Muda untuk siasatan lanjut, manakala tiga lelaki warga Bangladesh dipercayai pelanggan pusat pelacuran tersebit turut ditahan.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati premis itu pernah diserbu sebelum ini kerana menempatkan wanita yang menawarkan seks kepada pelanggan terutama lelaki warga asing.
“Hasil temu bual dengan pelanggan lelaki warga asing itu, mereka dikenakan bayaran antara RM100 hingga RM150 untuk melanggan pelacur. Polis turut merampas sejumlah kondom, beberapa tiub pelincir dan sejumlah wang tunai,” ” katanya di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE