PETALING JAYA – Waris mangsa kemalangan maut membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris dan kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza di Jalan Raya Timur Barat, Gerik, Perak boleh mengambil tindakan bagi menuntut keadilan.
Peguam, Mahmud Jumaat berkata, terdapat dua tindakan yang boleh diambil ke atas pemandu dan pihak syarikat iaitu siasatan di bawah jenayah pengangkutan jalan raya dan tuntutan ganti rugi sivil.
Menurutnya, dalam kes jenayah, ia disiasat di bawah seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 sama ada kemalangan tersebut berlaku atas kecuaian manusia atau faktor lain.
“Namun, saksi mata sangat penting dalam siasatan ini dan saya harap saksi-saksi di tempat kejadian boleh bantu untuk buktikan pemandu tersebut membawa bas secara melulu dan laju.
“Ia termasuk dengan memberi keterangan atau rakaman kamera papan pemuka (dashcam) untuk dijadikan sebagai bukti keterangan untuk menuntut keadilan bagi mangsa yang terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook hari ini.
Berkenaan kes tuntutan sivil, Mahmud berkata, adalah lebih wajar mangsa dan waris melantik peguam dalam menasihati draf laporan bagi memudahkan tuntutan ganti rugi.
“Waris harus tuntut keadilan buat mangsa. Takziah buat keluarga mangsa nahas bas di Gerik,” katanya.
Kosmo! sebeum ini melaporkan seoranb pemilik dashcam tampil membantu siasatan tragedi kemalangan bas di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang mengorbankan 15 pelajar UPSI, awal pagi hari ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin dilaporkan berkata, rakaman dashcam berkenaan dipercayai merakam detik-detik sebelum kejadian dan telah diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk dianalisis. – KOSMO! ONLINE