PETALING JAYA – Sebahagian mangsa nahas kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) yang kini dirawat di Hospital Gerik berada dalam keadaan kritikal.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, berdasarkan laporan awal seramai 15 nyawa terkorban, manakala puluhan lagi cedera dan sebahagiannya dilaporkan dalam keadaan kritikal.
“Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa serta doa agar mereka yang sedang dirawat diberi kesembuhan dan kekuatan.
“Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus memantau rapat situasi ini dan memberi sokongan sewajarnya,” katanya dalam satu hantaran di media sosial hari ini.
Terdahulu Kosmo! melaporkan seramai 15 individu maut dalam kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI dengan sebuah Perodua Alza di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB), Gerik awal pagi ini.
Difahamkan bas itu dalam perjalanan ke kampus Universiti itu dari Jerteh, Terengganu.
Sementara itu, Dzulkefly berkata, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas kesihatan Hospital Gerik yang bertungkus-lumus memberi rawatan kecemasan kepada para mangsa.
“Semoga Allah S.W.T merahmati roh mereka yang terkorban dan mengurniakan ketabahan buat semua yang terkesan,” katanya. – KOSMO! ONLINE