IPOH – Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik awal pagi tadi sedang menjalani proses bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).
Setakat pukul 3.30 petang tadi, enam bedah siasat telah selesai dijalankan, namun kesemua jenazah belum diserahkan kepada keluarga.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perak, Dr. Feisul Idzwan Mustapha berkata, proses bedah siasat bermula pada pukul 9.30 pagi dan dilalukan serentak oleh tiga pasukan forensik bagi mempercepatkan urusan pengecaman dan tuntutan oleh waris.
“Secara purata, satu proses bedah siasat mengambil masa dua hingga tiga jam. Kami sedang berusaha menyelesaikannya secepat mungkin dan semuanya dijangka selesai selewat-lewatnya tengah malam ini,” katanya pada sidang akhbar di Jabatan Forensik HRPB hari ini.
Menurut beliau, langkah pertama yang dilakukan adalah proses pengecaman jenazah oleh waris, namun beberapa keluarga mangsa masih belum tiba kerana perjalanan jauh dari Pantai Timur.
Katanya, urusan pengecaman turut dibantu pihak polis melalui proses cap jari. Sebaik bedah siasat selesai, jenazah akan diserahkan kepada keluarga masing-masing untuk urusan pengebumian.
“Mana (mangsa) yang telah dikenal pasti dan selesai bedah siasat akan segera diserahkan kepada waris,” katanya.
Tambahnya, pihak hospital tidak menunggu lama untuk memulakan operasi kerana mesyuarat diadakan lebih awal pagi tadi bagi menyelaras kesemua proses dengan pasukan forensik.
UPSI dengan kerjasama beberapa universiti lain turut menyediakan perkhidmatan van jenazah bagi mempercepatkan proses penghantaran ke kampung sebaik jenazah diserahkan. – KOSMO! ONLINE