PETALING JAYA – Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyifatkan tragedi sebuah bas yang meragut nyawa 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Gerik, Perak sebagai satu kehilangan besar buat negara.
Presidennya, Jais Abdul Karim menegaskan kemalangan yang berlaku tidak boleh dipandang ringan dan mendesak agar satu siasatan menyeluruh, bebas serta telus segera dijalankan melibatkan semua pihak berkaitan termasuk pemandu, syarikat pengendali bas, dan pihak yang meluluskan perjalanan.
“Berdasarkan maklumat awal dan laporan saksi, terdapat petunjuk jelas yang menunjukkan kemungkinan berlakunya kecuaian atau kesilapan pemanduan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Jais, sekiranya terbukti terdapat unsur penyelewengan, rasuah atau kelalaian dalam proses pelesenan, penyelenggaraan, atau pemantauan prosedur operasi standard (SOP), tindakan tegas tanpa kompromi perlu diambil terhadap pihak bertanggungjawab.
MCW turut mendesak agar Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengkaji semula sistem pemantauan serta rekod disiplin pemandu bas, termasuk ketelusan dalam rekod latihan dan latar belakang mereka.
“Keluarga mangsa bukan sekadar perlukan simpati, mereka berhak mendapat keadilan sepenuhnya. Setiap kelemahan sistemik perlu didedahkan dan diperbetulkan segera,” katanya.
MCW menganggap insiden ini bukan sekadar kemalangan biasa, tetapi satu tragedi yang mencerminkan kemungkinan kegagalan sistem kawalan jika terdapat unsur kecuaian yang berulang.
Pihak MCW akan terus memantau perkembangan siasatan dan menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan pihak berkaitan bagi memastikan keadilan ditegakkan serta tragedi sebegini tidak berulang di masa hadapan. – KOSMO! ONLINE